Khamis, 4 Ogos 2016

RUKUN NEGARA

                              

Assalamualaikum,
      
      Kami dari kumpulan 5 yang terdiri daripada lima orang ahli iaitu;


Nama: Nur Aina Nasuha Binti Mokhtar
No. Matrik: 16DTP16F1004
Kelas: DTP1A 


Nama: Nurul Syafika Izzany Binti Mohamad Hilmy
No. Matrik: 16DTP16F1019
Kelas: DTP1A 


 Nama: Nurul Hasmeda Binti Othman
No. Matrik: 16DTP16F1022
Kelas: DTP1A

  

Nama: Nurul Aini Binti Mohd Khir
No. Matrik: 16DTP16F1027
Kelas: DTP1A 


Nama: Yasasvini Satkreetaa A/P Javahar 
No. Matrik: 16DTP16F1008
Kelas: DTP1A   
 
Kami telah diberi tugas untuk melakukan blog yang bertajuk 'RUKUN NEGARA'.



PENGHARGAAN

  Setinggi-tinggi perhargaan diucapkan kepada Ustazah Nurul Asma Binti Effendi diatas tunjuk ajar dan memberi kepercayaan kepada kami untuk melakarkan blog ini. Semoga blog ini diterima dan memberi manfaat kepada semua. Sekian terima kasih.

PENGENALAN 


    Asas kerukunan hidup bermasyarakat ialah permuafakatan dan perpaduan yang melambangkan wujudnya “kesatuan hati”. Perpecahan dan persengketaan pula menyebabkan anggota masyarakat itu akan sentiasa bergelut dengan tarikan yang berbeza arah. Ini bermakna “konflik” yang tidak berkesudahan akan menghantui kehidupan masyarakat. Justeru, bagi membentuk sebuah negara yang padu mesti ada etika dan falsafah kenegaraan yang dapat membina kecintaan (patriotisme), kesetiaan, permuafakatan dan perpaduan rakyatnya.
     Di negara kita, kerajaan telah menggubal Rukun Negara sebagai falsafah, etika dan ideologi (doktrin) negara. Sewajarnyalah setiap rakyat memahami latar belakang, objektif dan prinsip Rukun Negara itu. Dari segi latar belakangnya, Rukun Negara digubal setelah berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut telah mendorong pemimpin negara dari pelbagai kaum memikirkan satu formula bagi memulihkan perpaduan kaum yang lebih utuh dan kental.
     Rukun Negara digubal sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat yang bersatu padu, adil dan harmoni. Rukun Negara telah menjadi dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.
    Rukun Negara mempunyai lima objektif, iaitu: untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat; memelihara cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak; dan, untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden.

PERISTIWA 13 MEI 1969 


Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan “Pilihan Raya Umum 1969” merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.




Isu perkauman dalam pilihan raya 1969


Isu-isu perkauman yang menyentuh emosi dan sentimen menjadi tema utama sepanjang kempen pilihanraya yang telah menaikkan semangat kaum-kaum di Malaysia. Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik terutamanya daripada parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal sensitif berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai (Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah menimbulkan perasaan perkauman dan syak wasangka.

Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO–MCA–MIC) telah mengalami kekalahan yang teruk dalam Pilihan Raya 1969. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Perikatan telah kehilangan majoriti dua-pertiga dalam Dewan Rakyat.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.

Sebab terjadinya Peristiwa 13 Mei 1969 adalah perarakan kemenangan pihak pembangkang. Penyokong-penyokong Parti Gerakan telah mengutuk dan menghina orang-orang Melayu semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.

Pembangkang meraikan kemenangan



Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.

Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, Selangor. Beliau minta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan 50:50 di Selangor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato’ Harun Idris.

Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu (‘menyingkir’) orang-orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.

Perarakan kematian Cina



Akibat daripada rusuhan maut tersebut, kesesakan jalanraya turut berlaku.

Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu.

Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye selaku Presiden Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahli-ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Tapi permohonan maaf sudah terlambat.

Rumah Menteri Besar Selangor



UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Hal ini adalah kerana perasaan emosi yang tinggi dan kurangnya kawalan dari kedua-dua pihak. Perarakan ini tidak dirancang.

Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dato’ Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba mententeramkan keadaan. Rupa-rupanya, mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang dan parang panjang dan hanya menunggu isyarat lampu hijau dari Dato’ Harun Idris untuk mengamuk. 

Ketika berkumpul, cerita-cerita tentang kebiadapan ahli parti Gerakan tersebar dan meluap-luap. Jam 3.00 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya dua kilometer dari rumah Menteri Besar Selangor.

4.00 petang dua penunggang motosikal Cina yang melalui Jalan Kampung Baru telah dipancung. Sebuah van membawa rokok dibakar dan pemandunya dibunuh. Pemuda-pemuda Cina yang dikatakan dari PKM dan kongsi-kongsi gelap telah bertindak balas. Mereka membunuh orang-orang Melayu di sekitar Kuala Lumpur. Rupa-rupanya orang Cina dan pemuda Cina ini lengkap dengan pelbagai senjata besi, tombak dan lembing berparang di hujung seperti dalam filem lama Cina.

Rusuhan besar terjadi. Perintah darurat dikeluarkan, semua orang tidak dibenarkan keluar dari rumah. Pasukan polis berkawal di sekitar Kuala Lumpur. Tentera dari Rejimen Renjer lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala Lumpur.

Rejimen Renjer


Pasukan FRU di keluarkan dari Kampung Baru dan askar dari Rejimen Renjer ambil alih. Malangnya pasukan ini terdiri dari orang-orang Melayu, Iban, Cina, India, Sikh, Gurkha dan lain-lain turut menembak orang-orang Melayu dan ini menyebabkan kemarahan orang Melayu semakin meluap-luap. Menurut laporan, ketua pasukan Rejimen Renjer dikatakan berbangsa Cina.

Pemuda-pemuda Melayu yang mempertahankan Kampung Baru dan yang lain-lain mengamuk merasakan diri mereka terkepung antara orang Cina dengan askar Rejimen Renjer. Beberapa das turut ditujukan ke arah rumah Menteri Besar Selangor.

Angka korban


Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah. Tapi ramai telah menganggar ramai lagi dibunuh. Sebuah thesis PhD. daripada Universiti California, Berkeley menganggar seramai 2,000 orang hilang nyawa dalam peristiwa 13 Mei.

Mageran

Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969 di seluruh negara dan Mageran dibentuk di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak. Parlimen dibubarkan.


Peristiwa 13 Mei 1969 menyebabkan Tunku Abdul Rahman dipersalahkan oleh orang Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya. Berikutan itu Tunku meletakkan jawatan pada tahun 1970. Buku “Dilema Melayu” (“Malay Dilemma“) oleh Tun Dr Mahathir telah diharamkan. Dikatakan Tun Dr Mahathir memburuk-burukkan Tunku Abdul Rahman.

Keadaan akhirnya dapat dikawal dan beberapa keputusan telah diambil bagi mencari jalan penyelesaian termasuklah penubuhan beberapa badan seperti Majlis Perundingan Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara telah diciptakan.

Ternyata langkah Tunku Abdul Rahman penyingkiran Singapura dari Malaysia tidak menyelesaikan masalah perkauman. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan kemuncak kemarahan lama orang Melayu kerana mereka miskin di tanah air mereka sendiri.

KENAPA RUKUN NEGARA DITUBUHKAN
    Selepas Malaysia Merdeka dan negara mula dibangunkan, sedikit demi sedikit terdapat jurang antara kemewahan bandar dan kemiskinan desa, kemewahan orang bukan Melayu dengan kesempitan hidup orang Melayu yang menyebabkan rasa tidak puashati di antara rakyat. Ini menyebabkan beberapa kekacauan serta perbalahan yang melibatkan kaum berlainan berlaku di beberapa kawasan di Tanah Melayu. Apabila berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, kerajaan melihat perlunya satu formula untuk mengatasi masalah ini.

   Di antara Objektif Rukun Negara adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat, mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

   Majlis Perundangan Negara yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein (merangkap Pengarah MAGERAN) telah ditubuhkan di bawah Undang-undang Darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970, hasil daripada mesyuarat MAGERAN yang mentadbir negara ketika itu. Ianya di anggotai oleh Pengerusi, tiga orang menteri (Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Siew Sin dan mendiang Tun V.T Sambanthan ), wakil-wakil kerajaan negeri dan wakil-wakil daripada parti politik.

   Majlis Perundingan Negara bertanggungjawab menjadi pemikir dalam merangka perpaduan negara dan mencari satu cara yang mampu untuk mengatasi garis pemisah antara kaum. Dengan itu, maka lahirnya satu ideologi kebangsaan yang baru iaitu Rukun Negara yang digubal sebagai falsafah negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah negara bangsa yang stabil. Selain itu, Majlis Perundangan Negara juga mula menggunakan tema untuk menyambut kemerdekaan pada setiap tahun sebagai langkah mengekalkan semangat cintakan negara dan memupuk keharmonian kaum.


TUJUAN RUKUN NEGARA

1. Dapat mencapai satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
2. Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya.
3. Memperkenalkan Rukun Negara kepada masyarakat supaya mereka dapat mengetahui dan memahami falsafah serta prinsip-prinsip Rukun Negara.
4. Menyemai dan mempertingkatkan lagi semangat perpaduan di kalangan murid berasaskan sikap saling percaya-mempercayai, hormat-menghormati, toleransi dan kerjasama antara kaum.
5. Mempertingkatkan penghayatan agama yang dianuti.
6. Mempertingkatkan kefahaman dan menghormati budaya, adat resam dan pantang larang kaum-kaum di Malaysia.
7. Untuk membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak.

LIMA PRINSIP RUKUN NEGARA

1)  KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

     Prinsip ini menggambarkan bahawa asas kehidupan beragama merupakan prinsip penting kehidupan rakyat di negara kita. Sebarang bentuk ideologi atau ajaran yang menolak kepercayaan kepada Tuhan (atheis) seperti fahaman komunis tidak akan mendapat tempat di negara ini. Ini adalah kerana agama telah menjadi unsur penting dalam membentuk rohani (spiritual) masyarakat kita.
    Di dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan seharusnya dapat menerapkan kepercayaan beragama secara positif yang boleh membangun “pemikiran luhur” dalam hubungan pelbagai kaum serta dapat membina jati diri yang padu.
   Setiap penganut agama sewajarnya menjadikan agama masing-masing sebagai asas membina keharmonian dan perpaduan, bukannya menggunakan agama sebagai alat mencipta permusuhan. Justeru, semua kepercayaan agama di negara ini harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan yang dapat menyubur sikap persefahaman dan bertolak ansur atau saling bertoleransi.

2)  KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

      Di negara kita, Raja dan Negara mempunyai kaitan yang sangat rapat. Ini adalah kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah ketua negara. Perkara 44 pula menyebut bahawa YDPA adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk Parlimen di negara ini.
      Justeru, prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal kewarganegaraan di negara ini. Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang Dipertuan Agong dan negara. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja adalah “payung negara” yang menaungi seluruh rakyat di negara ini. Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau dihina serta ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali.


3)  KELUHURAN PERLEMBAGAAN

     Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau perlembagaan itu sendiri. Keluhuran Perlembagaan Malaysia terletak kepada kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.
     Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang. Justeru, perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara. Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara keluhuran dan ketinggian perlembagaan ialah badan kehakiman. Badan ini berkuasa menentukan kesahihan sesuatu undang-undang.


4)   KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

    Setiap negara mempunyai undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, tenteram, stabil dan makmur. Justeru, kedaulatan undang-undang menjadi elemen penting bagi memastikan undang-undang berjalan dengan lancar. Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang driskiminasi kaum, gender mahupun kedudukan (status sosial).
     Oleh itu, keadilan merupakan elemen penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.Kuasa kedaulatan dalam konteks undang-undang adalah merujuk kepada autoriti perundagan ynag paling tinggi iaitu Perlembagaan Negara. Badan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang pula dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Ini penting bagi menjamin kebebasan asasi semua warganegara Malaysia.
     Namun, kebebasan asasi tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja sehingga melanggar undang-undang dan Perlembagaan Negara. Misalnya, adalah menyalahi undang-undang dan Perlembagaan Negera apabila ada pihak yang mahu menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan kerana ia bukan termasuk dalam pengertaian kebebasan dan hak asasi. Didalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.


5)   KESOPANAN DAN KESUSILAAN

   Prinsip ini mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan dan pembangunan personaliti individu yang seharusnya dibina sejak kecil lagi. Prinsip ini juga berkait rapat dengan nilai-nilai moral dan akhlak masyarakat. Prinsip ini mesti menjadi panduan seluruh masyarakat supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan tamadun negara yang berasaskan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.
    Kehidupan yang bersusila dan bersopan santun amat penting dalam konteks perhubungan etnik, terutama dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Dalam konteks ini, setiap warga negara sewajarnya tahu menghormati orang lain dengan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif kepada sesuatu kaum berkaitan kewarganegaraannya, asal keturunannya, bahasa, kebudayaan serta kepercayaan dan agam yang dianutinya.
    Kerajaan amat prihatin untuk membentuk masyarakat yang bersopan santun, berdisiplin dan bermoral tinggi. Justeru, kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dianjurkan kerajaan adalah bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki sifa-sifat mulia, beradab, bersopan santun, bertoleransi, saling memahami dan cintakan kedamaian. Ia selari dengan prinsip kelima Rukun negara itu.
    Kesimpulan, Rukun Negara harus dilihat sebagai ‘internal cohesion’ atau kuasa dalaman yang dapat mengikat perpaduan dan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Objektif dan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu masih releven untuk membentuk jati diri dan keperibadian rakyat.

HURAIAN RINGKAS TENTANG RUKUN NEGARA

          Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
* Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya
* Memelihara cara hidup demokratik
* Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat
 dinikmati secara adil dan saksama
* Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya
 dan berbagai-bagai corak
* Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden
Ikrar : Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

 * Kepercayaan kepada Tuhan
 * Kesetiaan kepada Raja dan Negara
 * Keluhuran Perlembagaan
 * Kedaulatan Undang-undang
 * Kesopanan dan Kesusilaan

MATLAMAT DAN KEPENTINGAN RUKUN
NEGARA KEPADA NEGARA


1. Mencapai Perpaduan yang Lebih Erat.
Semua rakyat hendaklah mendukung cita-cita untuk membentuk satu bangsa dan negara di mana ahli–ahli masyarakatnya menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan kepercayaan masing-masing. Rakyat  negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan berbagai-bagai persoalan yang wujud. Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana wujud ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Sungguhpun wujud unsur-unsur perbezaan ini, melalui Rukun Negara akan dapat membentuk satu bangsa yang bersatupadu di mana semua rakyat tampa mengira kaum mempunyai semangat kesetiaan dan perasaan cinta terhadap negara.

2. Memelihara Satu Cara Hidup Demokratik.
Pelembagaan negara menjamin kebebasan hak asasi dan kebebasan kegiatan-kegiatan berpolitik rakyat negara ini asalkan tidak melanggar undang-undang negara. Tetapi hak-hak serta kebebasan yang diberikan ini tidak boleh disalah gunakan atas nama demokrasi untuk membakar perasaan perkauman atau bagi memusnahkademokrasi. Apabila berlaku sebarang masalah yang melanda negara, kepentingan bangsa dan negara mestilah didahulukan. Kepentingan negara hendaklah di utamakan lebih daripada kepentingan sesuatu kaum atau sesuatu tidak, jika hendak, kestabilan dan keselamatan negara akan terancam.
3. Mencipta Sebuah Masyarakat Yang Adil.
Semua anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kekayaan negara. Masyarakat yang adil akan wujud di negara ini jika kekayaan negara dibahagikan adil dan saksama. Bagi mencapai tujuan ini pihak-pihak yang lemah akan dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan pihak-pihak yang lain yang lebih maju. Masyarakat adil yang  kita cita-cita kan itu bebas daripada penindasan seseorang terhadap yang lain ataupun penindasan sesuatu golongan terhadap yang lain.

4. Membentuk Satu Sikap Yang Liberal
Masyarakat negara ini bebas mengamalkan agama dan adat resam serta kebudayaan masing-masing sesuai dengan matlamat perpaduan negara. kita sesungguhnya mempunyai kekayaan dari segi kebudayaan dan adat resam yang Negara diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum. Walaupun ada perbezaan, semua anggota masyarakat hendaklah bercita-cita untuk mewujudkan satu masyarakat di mana keadaan berlainan kebudayaan itu boleh menguntungkan dan menjadi sumber kekuatan kepada bangsa dan negara Malaysia.

5. Membina Sebuah Masyarakat Progresif.
Kita bercita-cita hendak mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang mencapai kemajuan di bidang sains dan teknologi selaras dengan perkembangan teknologi terkini serta dunia tanpa sempadan dan era globalisasi. Dunia kini sedang menyaksikan perubahan-perubahan yang begitu cepat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi. Masyarakat progresif yang hendak diwujudkan merupakan satu masyarakat yang bergerak maju sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi yang akhirnya akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju sebagaimana matlamat Wawasan 2020.

6. Rukun Negara sebagai Etika, Falsafah dan Ideologi
Asas kerukunan hidup bermasyarakat ialah permuafakatan dan perpaduan yang melambangkan wujudnya `kesatuan hati'. Perpecahan dan persengketaan pula menyebabkan anggota masyarakat itu akan sentiasa bergelut dengan tarikan yang berbeza arah. Ini bermakna `konflik' yang tidak berkesudahan akan menghantui kehidupan masyarakat. Justeru, bagi membentuk sebuah negara yang padu mesti ada etika dan falsafah kenegaraan yang dapat membina kecintaan (patriotisme), kesetiaan, permuafakatan dan perpaduan rakyatnya.

      Di negara kita, kerajaan menggubal Rukun Negara sebagai falsafah, etika dan ideologi (doktrin) negara. Sewajarnyalah setiap rakyat memahami latar belakang, objektif dan prinsip Rukun Negara itu.

      Dari segi latar belakangnya, Rukun Negara digubal selepas berlaku peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Peristiwa itu mendorong pemimpin negara daripada pelbagai kaum memikirkan formula bagi memulihkan perpaduan kaum yang lebih utuh dan kental.

      Tun Abdul Razak Hussein yang mengetuai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika itu menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara. Hasil perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN), lahirlah Rukun Negara. Ia digubal sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat bersatu padu, adil dan harmoni.

       Ideologi negara ini diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970, iaitu ketika negara menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-13. Sejak diperkenalkan, Rukun Negara menjadi dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.

       Rukun Negara mempunyai lima objektif, iaitu untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat; memelihara cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak dan untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden.

       Lima prinsip Rukun Negara pula ialah Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan undang-undang dan Kesopanan dan kesusilaan. Prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara harus dilihat dan difahami sebagai nilai kenegaraan yang sangat mendasar dan ia mesti difahami dan dihayati dengan penuh komitmen, kesedaran dan penghayatan oleh setiap rakyat di negara ini.

PENGAJARAN YANG DIPEROLEHI


  •   Rakyat malaysia seharusnya mengambil iktibar daripada kejadian rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969.
  • Rakyat mengamalkan cara hidup demokratik supaya dapat mencipta masyarakat yang adil demi menjaga kemakmuran negara.
  • Rakyat malaysia haruslah menerima dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan sebagai amalan hidup di malaysia.
  • Rukun Negara juga menitikberatkan konsep-konsep kerohanian terhadap tuhan.


SARANAN

   Saranannya, setiap rakyat Malaysia perlulah berusaha ke arah menjadikan Negara maju mengikut acuan kita sendiri. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu mempunyai pengetahuan tentang rukun Negara. Semangat patriotik yang membara dalam diri setiap rakyat Malaysia dapat membentuk rakyat bersatu padu dan harmoni. Akhir sekali, untuk mengekalkan perpaduan yang utuh rakyat Malaysia haruslah mempunyai pengetahuan tentang rukun Negara yang ditubuhkan.


KESIMPULAN
  
 Perpaduan kaum adalah matlamat penting yang ingin dicapai oleh semua negara di dunia termasuk Malaysia. Ia penting kerana tampa perpaduan, sebuah negara itu akan menjadi lemah, sukar untuk di bangunkan dan mudah di ancam sama ada oleh kuasa luar atau dalam negara itu sendiri.

   Rukun Negara dicipta ekoran daripada rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Tragedi ini telah menyedarkan kita semua, yakni rakyat Malaysia akan bertapa pentingnya bersatu padu dan hidup dengan aman dan damai serta menghindari sifat curiga-mencurigai antara satu sama lain.

   Mengamalkan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, bermuhibah tampa mengira kaum serta bersikap saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Melalui perpaduan akan dapat membantu negara kita mempertingkatkan dan mempergiatkan lagi pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara yang bersifat liberal dan demokratik.


  SUMBER RUJUKAN

·         INTERNET - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
www.jpnin.gov.my-rukun-negara

·         INTERNET - Abdul Rahman Abdul Aziz
http://repo.uum.edu.my/3186/1/S22.pdf

·         INTERNET - Irfan Khalil
http://irfankalil.blogspot.com/

·         INTERNET – Zailani Zakaria
http://zailanizakaria.blogspot.com/2008/12/rukun-negara-malaysia.html

·         INTERNET – Anizyn
http://anizyn.blogspot.com/2010/10/rukun-negara-sebagai-etika-falsafah-dan.html

·         BUKU – Pengajian Malaysia
Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin (2014), Pengajian Malaysia Edisi Kelima, Kuala Lumpur : Impression One Sdn Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan